Telefon dari Thailand, Shuk Sahar ceraikan Fara Salleh

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pelawak Shuk Sahar didakwa sudah melafazkan talak satu terhadap isteri baharunya, Fara Salleh menerusi panggilan telefon.

Setakat ini Fara, 33, bagaimanapun tidak mengetahui punca sebenar pemilik nama lengkap Mohamad Shukri Mohamed Sahar itu melafazkan talak ketika berada di Thailand.

“Kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi dia baru ceraikan saya. Dia buat lafaz cerai di pejabat agama Satun, Thailand tempat kami nikah tempoh hari.

“Dia bersama imam dan pegawai di sana tetapi saya pun tak pasti kenapa dia melafazkan talak di sana.

“Pihak pegawai itu juga memaklumkan perceraian tetap perlu diuruskan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Dalam masa sama, Fara yang sedang hamil mengakui lega apabila sudah bebas daripada Shuk selain akan menguruskan hal perceraian mengikut undang-undang Malaysia.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan. Saya rasa gembira dan tenang sebab selama ini saya tertunggu-tunggu berapa lama proses ini akan selesai.

“Selama bergelar isteri masih banyak batas yang perlu diikuti. Secara sahnya kami memang sudah bercerai cuma, dari segi undang-undang kami tiada dokumen lengkap.

“Saya akan selesaikan pengesahan pendaftaran nikah kami 15 April ini di sini. Saya tak akan diam dan jadi bodoh sebab kami ada anak,” ujarnya lagi.

Fara juga menegaskan tidak akan menerima maaf daripada pelawak berusia 39 tahun itu kerana lelaki terbabit didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Kalau dia datang, saya halau. Pergi berambus sebab dari awal mengandung dia tidak bertanggungjawab padahal dia ada dua anak dan berpengalaman menguruskan bekas isteri.

“Sejujurnya saya pun tak nak terima maaf dia sebab apa yang dia buat dari bulan puasa memang tidak boleh terima akal.

“Selama dalam perkahwinan, dia tak pernah melindungi dan bertanggungjawab. Kalau dia kata nak bertanggungjawab, kenapa ceraikan saya di sana?

“Padahal dia dah terima surat 15 April ini untuk pergi pejabat agama buat pengesahan perkahwinan. Nampak dia enggan bertanggungjawab terhadap anak ini dan mahu bercerai cepat,” jelasnya.

Sebelum ini, wanita terbabit mendakwa menjadi mangsa penderaan mental suaminya yang dikatakan tidak mengendahkan keadaannya sepanjang di hospital.

Terdahulu, Fara mengejutkan ramai apabila menyatakan kekesalan terhadap institusi perkahwinan seolah-olah memberi bayangan mengenai keberantakan rumah tangganya dengan Shuk yang belum pun mencecah setahun.

Fara dan Shuk, 38, mendirikan rumah tangga pada November 2023 dan ini merupakan perkahwinan kedua pelawak itu.

Shuk sebelum ini pernah berkahwin dengan Rossa Sera namun bercerai pada 22 Mac 2023. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |