Sultan Ibrahim Agong pertama melawat Russia

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Russia dari 5 hingga 10 Ogos, atas jemputan Presiden Persekutuan Russia, Tuan Yang Terutama Vladimir V. Putin.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke negara tersebut sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.

Katanya, lawatan ini turut melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.

“Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada, malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.

“Selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dalam konteks Persekutuan Russia sebagai Rakan Dialog ASEAN sejak tahun 1996,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, semasa berada di Moscow, Sultan Ibrahim akan diterima Presiden Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti dengan satu pertemuan rasmi antara kedua-dua ketua negara.

“Seri Paduka Baginda turut berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Persekutuan Russia itu.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Hab Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya,” katanya.

Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk berangkat mengadakan lawatan ke Kazan di Republik Tatarstan pada 8 Ogos.

“Tatarstan merupakan satu daripada republik autonomi Russia dengan majoriti penduduknya beragama Islam.

“Di Kazan, Seri Paduka Baginda berkenan untuk menerima menghadap Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan dan pemasangan helikopter,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |