Projek akuakultur bantu nelayan terkesan akibat tambak laut – Akmal Saleh

2 hours ago 3

JASIN – Melaka telah mengenal pasti beberapa kawasan sesuai bagi pelaksanaan projek akuakultur khusus untuk membantu nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek penambakan laut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, program berimpak tinggi itu dilaksanakan sebagai inisiatif memastikan sumber pendapatan lebih 1,000 nelayan berdaftar terus terjamin susulan projek tambakan laut yang memberi kesan kepada hasil tangkapan semasa.

Menurutnya, bagi merealisasikan projek itu beberapa tanah kerajaan yang tidak digunakan akan diserahkan kepada persatuan nelayan supaya dapat diusahakan dan dimanfaatkan sebagai projek akuakultur. “Sebab itu projek akuakultur ini akan segera digerakkan sebagai sumber pendapatan baharu yang setara dengan hasil laut. Kalau sebelum ini mereka meraih hasil RM3,000 sebagai nelayan, kita juga mahu pendapatan itu kekal, menerusi projek akuakultur ini.

“Kita sudah kenal pasti tanah-tanah kerajaan yang tidak digunakan untuk dibangunkan sebagai tapak akuakultur. Setiap kawasan utama seperti Melaka Barat, Melaka Selatan dan Jasin akan dibangunkan secara berperingkat di bawah persatuan nelayan kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program pelepasan benih udang di Projek Ternakan Udang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Fasa II, Kampung Sebatu, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata, inisiatif projek ternakan tersebut merupakan antara usaha di bawah peruntukan Keterjaminan Makanan berjumlah RM21 juta yang diterima Melaka pada tahun ini menerusi program mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama kerajaan negeri.

Ujar beliau, daripada jumlah itu sebanyak RM350,000 bagi pemerkasaan ternakan udang selain pembekalan benih dan makanan udang bagi enam kolam, empat unit ‘submersible pump’ serta sebuah traktor.

“Hari ini kita melepaskan satu juta benih udang putih dijangka dapat dituai pada Januari depan sekali gus menghasilkan 18 tan matrik udang dengan anggaran jualan RM450,000.

“Di Melaka Barat, kita sudah ada lokasi berdekatan di jeti untuk dibangunkan, manakala di Jasin kita telah memulakannya dan mungkin akan menambah kolam jika ada peruntukan tambahan,” katanya.

Beliau turut menegaskan hanya nelayan berdaftar di bawah Persatuan Nelayan layak menerima manfaat daripada program berkenaan dan berharap semua nelayan yang belum berdaftar supaya berbuat demikian agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih teratur.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |