Monsun Timur Laut: Selangor Fokus Mitigasi Anak Sungai, peparitan

3 hours ago 3

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberi tumpuan kepada kerja-kerja mitigasi banjir di anak-anak sungai serta sistem longkang dan peparitan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu seiring dengan mitigasi melibatkan projek tebatan banjir seperti Tebatan Sungai Langat dibawah Kerajaan Persekutuan yang memasuki fasa kedua dan ketiga.

Katanya, peralihan monsun berterusan sehingga Januari atau Februari tahun depan itu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi. “Hari ini direkodkan di Taiping, kejadian banjir yang agak tinggi dan itu memperingatkan kita untuk lebih berhati-hati dan bersedia.

“Mitigasi banjir memang sebahagian sedang berjalan dan ada yang disambung, baru dan sebagainya termasuk Tebatan Banjir Sungai Langat di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Apa yang patut dilakukan oleh kerajaan negeri adalah (mitigasi) di anak-anak sungai dan kawasan sistem longkang dan juga peparitan di PBT,” katanya selepas merasmikan pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, persediaan awal turut dilakukan dari segi pengukuhan ban memandangkan Selangor juga turut akan berdepan fenomena air pasang besar pada bulan Disember ini.

Tegasnya, kedinamikan kesan cuaca menyebabkan peta risiko banjir sering berubah dan penilaian semula dilakukan secara berkala agar tindakan lebih tepat dilaksanakan.

“Ada kawasan yang dulunya tinggi risikonya kini berkurang kerana usaha mitigasi, tetapi ada kesannya (banjir) di tempat lain. Itu semua kita akan kemukakan nanti (hotspot banjir),” ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan lebih 5,000 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi digerakkan dalam menghadapi sebarang kemungkinan akibat MTL itu.

“Kesediaan rakyat juga perlu dipertingkatkan dengan menyedari aspek perubahan iklim yang boleh mencipta suasana tidak dijangkakan seperti kejadian ribut yang jarang-jarang berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |