GEORGE TOWN – Hujan lebat dan angin kencang yang melanda negeri ini sejak semalam mengakibatkan berlakunya dua kejadian tanah runtuh di Paya Terubong dan laluan warisan di pusat pelancongan popular, Bukit Bendera di sini, hari ini.
Bagaimanapun, bencana yang berlaku itu dilaporkan tidak melibatkan kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tanah runtuh di Paya Terubong pada pukul 2.41 petang tadi. Menurutnya, operasi menyelamatkan melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian dan mendapati berlaku runtuhan tanah berskala sederhana berhampiran kawasan tempat letak kenderaan.
“Tiada mangsa terlibat dan tiada struktur bangunan berhampiran yang terjejas. Bagaimanapun, sebanyak 12 buah kenderaan dikenal pasti berada di kawasan berdekatan ketika kejadian.
“Enam buah kereta masih belum dikenal pasti pemiliknya manakala enam lagi telah berjaya dialihkan dengan bantuan anggota bomba,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba turut memberi khidmat nasihat kepada pemilik kenderaan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta membantu mengalihkan kenderaan ke kawasan yang lebih selamat.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) turut memasang sawar-sawar keselamatan di sekitar kawasan terlibat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” jelasnya operasi tersebut belum tamat sepenuhnya setakat petang ini.
Sementara itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam satu kenyataan memaklumkan telah berlaku kejadian tanah runtuh kecil di sebahagian laluan warisan Bukit Bendera akibat hujan lebat.
“Kawasan yang terjejas telah ditutup sementara bagi memastikan keselamatan orang awam dan pasukan penyelenggaraan PBBPP sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk para pengunjung.
“Pendaki dan pengunjung dinasihatkan untuk tidak menggunakan laluan ini sehingga dimaklumkan kelak dan PBBPP akan terus memantau keadaan dengan teliti dan mengambil semua langkah keselamatan yang perlu,” katanya. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3
















































![[VIDEO] ‘Ini manusia akhir zaman, orang buat ibadat pun dihalau’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/06/WhatsApp-Image-2025-06-27-at-2.57.36-PM-250x147.jpeg)
![[VIDEO] ‘Buat yang malas kerja, tolonglah sedar!’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/06/WhatsApp-Image-2025-06-27-at-1.13.18-PM-250x141.jpeg)