ASEAN ke-47: Pergerakan di KLCC lancar, sedia terima ‘tetamu besar’

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersedia menerima kehadiran pemimpin tertinggi dunia termasuk ketua-ketua negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula Ahad hingga Selasa ini.

Tinjauan Kosmo! di KLCC mendapati, suasana di sekitar lokasi penganjuran sibuk sejak pagi tadi berikutan kehadiran delegasi pelbagai negara termasuk pengamal media tempatan dan antarabangsa.

Proses di pintu masuk KLCC juga perlu melalui saringan ketat, namun ia berjalan lancar dengan petugas-petugas turut membantu memastikan kelancaran. Dalam masa sama, pengamal media dari dalam dan luar negara juga sudah mula ‘berkampung’ di KLCC serta melakukan liputan masing-masing, malah dijangka bertambah sehingga menjelang acara berkenaan.

Seramai 2,854 pengamal media daripada 290 agensi dalam dan luar negara mendaftar untuk liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Ia merangkumi 648 wakil media rasmi Malaysia, 327 media tempatan dan 1,277 media antarabangsa.

Antara pemimpin negara bakal hadir pada sidang kali ini ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri Rosangela Lula da Silva, Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri Dr. Tshepo Motsepe, serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao.

Mereka turut disertai oleh Menteri Luar Finland, Elina Valtonen, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn dan isteri Khen Rany, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, Menteri Luar Indonesia, Sugiono serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Djamari Chaniago.

Pemimpin dunia lain dijangka berhimpun di KLCC hujung minggu ini termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.

Semalam media melaporkan, Kementerian Luar berpuas hati dengan persiapan dibuat menjelang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC.

Menterinya, Datuk Seri Mohammad Hassan dipetik berkata, sidang kemuncak itu diharapkan dapat dianjurkan dengan jayanya, sebagaimana kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 Mei lepas.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977. Filipina akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |