KUANTAN – Penduduk di sekitar daerah ini berasa pelik dengan dakwaan tular mengenai sebuah restoran terbiar yang dikatakan masih dibuka terutama pada waktu malam.
Rata-rata yang ditemui berkata, dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali, malah tiada kejadian mistik dilaporkan berlaku di restoran yang telah ditutup itu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! semalam mendapati, meskipun binaan restoran berkenaan masih kukuh, namun kawasan sekitarnya telah dipenuhi semak samun.
Seorang penduduk Taman Tas di sini, Mahathir Mohd. Ali, 50, berkata, dia yang berulang-alik di kawasan berkenaan untuk bekerja terutama pada waktu malam tidak pernah melihat restoran itu dibuka.
“Masa bila pula ia dikatakan dibuka pada waktu malam sebab saya biasa lalu pukul 12 tengah malam dan waktu pagi tak pernah pula dibuka.
“Mungkin individu yang menularkan perkara tidak benar ini sengaja untuk membuat content,” katanya di sini hari ini
Kelmarin tular sebuah restoran terbiar yang terletak di tepi jalan utama di Kuantan di sini, menjadi bualan apabila terdapat dakwaan premis itu masih beroperasi seperti biasa.
Menerusi perkongsian video di TikTok milik @Matramdang, restoran tersebut dipenuhi semak samun seperti sudah lama ditinggalkan.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata mengaku keliru dengan restoran tersebut yang dikatakan menyimpan pelbagai cerita misteri sejak bertahun lamanya.
Kata Mahathir, restoran berkenaan telah beberapa kali bertukar pemilik sebelum ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021.
“Memang peniaga di restoran ini bertukar-tukar, tidak ada yang dapat kekal lama, ada yang mengaitkan dengan pelbagai andaian, namun bagi saya mungkin faktor banyak persaingan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan berhampiran kawasan itu yang dikenali sebagai Ani berkata, tiada apa-apa kejadian mistik berlaku di restoran itu.
Katanya, sepanjang berniaga di situ dia tidak pernah nampak kejadian mistik atau pun kelibat misteri di situ.