Bank Islam umum langkah kewangan bantu usahawan terjejas banjir

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Peka dengan situasi banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di seluruh
Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan beberapa langkah bantuan kewangan yang mengutamakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terjejas, di samping sokongan untuk pelanggan individu.

Bagi membantu PMKS yang terjejas, Bank Islam menawarkan program pembiayaan Kemudahan Bantuan Bencana untuk perniagaan di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai kawasan bencana banjir.

Di bawah kemudahan ini, PMKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak, seperti kilang pembuatan dan mesin, serta untuk modal kerja asas.

Sementara itu, moratorium sehingga enam bulan turut ditawarkan kepada pelanggan PMKS Bank Islam sedia ada di kawasan bencana banjir yang ditetapkan oleh NADMA.

Bantuan kewangan ini merangkumi semua kemudahan kredit dengan pembayaran yang dijadualkan atau perlu dibayar mengikut kontrak, termasuk Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kemudahan Kredit Pusingan dan Talian Tunai, serta Kemudahan Perdagangan.

Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran
Moriff Mohd Shariff berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan terkini di semua kawasan yang terjejas.

“Bagi meringankan beban pelanggan, kami melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan menjadi lebih mudah dan cepat untuk mereka.”

“Sehubungan itu, kami berharap Kemudahan Bantuan Bencana untuk PMKS dan Program Prihatin Banjir bagi pelanggan individu dapat meringankan kebimbangan kewangan pada waktu yang mencabar
ini.

“Kami melihat ini sebagai tanggungjawab berterusan, bukan sekadar tindak balas terhadap
krisis. Sokongan kami akan diteruskan melepasi tempoh pasca-bencana, dengan sumber
yang diperuntukkan khusus untuk membantu pelanggan membina semula, menyesuaikan diri,
dan berkembang dalam jangka panjang” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Bank Islam telah meneruskan semula Program Prihatin Banjir untuk pelanggan
pembiayaan individu.

Pelanggan Pembiayaan-i Rumah, Peribadi dan Kenderaan yang terjejasbencana boleh memohon penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga enam  bulan,tertakluk kepada terma dan syarat berkaitan. Bank turut menawarkan penggantian percuma untuk Kad Kredit dan Debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang.

Permohonan bantuan kewangan boleh dikemukakan di cawangan Bank Islam terdekat dalam
tempoh tiga  bulan selepas kejadian. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |