PUTRAJAYA – Kepentingan pelajar tempatan disifatkan terus diberi keutamaan dan tidak pernah dianaktirikan dalam isu kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi di negara ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, susulan itu, dakwaan dikeluarkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyifatkan KPT gagal mendahului kepentingan rakyat tempatan dalam isu pendidikan tinggi adalah tidak berasas.
“Kita juga tertanya-tanya mengapa perkara ini dipersoalkan, lebih-lebih lagi oleh seorang mantan (Naib Canselor Universiti Utara Malaysia) yang seharusnya faham bagaimana universiti beroperasi, termasuk peratusan kemasukan pelajar tempatan berbanding antarabangsa.
“Sebenarnya, kita sangat menjaga kepentingan anak-anak tempatan dan tidak pernah sekali pun terlintas untuk menganaktirikan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi dakwaan dikeluarkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Invovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan kegagalan KPT dalam isu berkenaan menyebabkan berlakunya ‘tragedi bangsa’.
Mengulas lanjut, Azlinda berkata, dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi juga tidak akan mengabaikan peluang dan akses pendidikan kepada anak tempatan.
“Kemasukan pelajar antarabangsa ke peringkat pasca-siswazah ini telah meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan ranking.
“Sehingga kini, Universiti Malaya berada di kedudukan 58 terbaik dunia, manakala empat universiti penyelidikan lain berada di antara 126 hingga 153 terbaik dunia (QS Ranking).
“Manakala di peringkat ASEAN pula, lima universiti tanah air berada di 10 Universiti terbaik di ASEAN, menunjukkan sistem pendidikan dan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi berada di landasan yang tepat,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa di lima universiti penyelidikan, Azlinda berkata,, bilangan pelajar di universiti terlibat seramai 180,024 orang setakat 31 Disember 2024.
“Bagi pra-siswazah merangkumi sijil, diploma, ijazah dan ijazah sarjana muda, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.
“Untuk rekod di lima universiti penyelidikan jumlah pelajar tempatan ialah 91.6 peratus, manakala pelajar antarabangsa hanya 8.4 peratus sahaja.
“Manakala pelajar di peringkat pra-siswazah pula, fokus utama adalah kepada program ijazah sarjana muda dan subsidi disediakan oleh kerajaan kepada anak-anak tempatan sahaja,” katanya.
Bagi pasca-siswazah pula yang merangkumi ijazah sarjana dan kedoktoran, ia bersifat terbuka dan tiada had kemasukan pelajar antarabangsa. – KOSMO! ONLINE