Wanita muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja layak dibicara

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik hantaran sijil pernikahan palsu antara dirinya dengan seorang kerabat diraja di TikTok layak dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham selepas menerima laporan perubatan psikiatri forensik tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43.

“Laporan perubatan psikiatri telah diterima. Berdasarkan laporan ini, tertuduh layak untuk dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam bela, Jefvinder Singh berkata, pihaknya akan meneliti dokumen-dokumen kes tersebut sebelum mengemukakan representasi.

Hakim Suhaila Haron kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 13 Oktober ini selain menetapkan tarikh perbicaraan bermula 3 hingga 5 Disember depan.

Pada 22 Julai lalu, Persana Avril diperintah menjalani rawatan dan pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Norma Ismail selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ravendejit Kaur bagi mendapatkan laporan kesihatan mental wanita berkenaan sebelum prosiding selanjutnya diteruskan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran menerusi akaun TikTok iaitu video gambar sijil pernikahan palsu kerabat diraja itu dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 25 Februari lalu.

Hantaran video itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada 26 Februari lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Mac lalu, wanita itu telah ditahan untuk disoal siasat oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, tetapi telah dibebaskan selepas itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |