MANILA – Speaker Dewan Rakyat Filipina meletak jawatan hari ini selepas namanya timbul dalam skandal rasuah yang semakin meluas, kurang dua minggu selepas presiden Dewan Senat mengalami ama.
Martin Romualdez iaitu sepupu Presiden Ferdinand Marcos memberitahu anggota-anggota Parlimen bahawa beliau meletak jawatan dengan ‘hati nurani bersih’ supaya badan penyiasat yang baru ditubuhkan dapat menjalankan tugas tanpa ‘pengaruh yang tidak wajar’.
Kemarahan rakyat terhadap projek infrastruktur palsu itu semakin memuncak sejak Marcos menjadikannya agenda utama dalam ucapan negara pada Julai lalu, beberapa minggu selepas bencana banjir meragut sejumlah nyawa.
Beribu-ribu orang dijangka turun di Manila Ahad ini untuk menyertai tunjuk perasaan dinamakan ‘Perarakan Trilion Peso’ sempena anggaran pertubuhan Greenpeace bahawa dana berjumlah AS$17.6 bilion (RM73.8 bilion) diselewengkan daripada projek berkaitan iklim sejak 2023.
“Isu sekitar projek infrastruktur tertentu telah menimbulkan persoalan yang bukan sahaja membebankan saya tetapi juga institusi yang kita semua berkhidmat ini,” kata Romualdez di Dewan Rakyat hari ini
“Semakin lama saya kekal, semakin berat beban ini,” tambahnya sebelum secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan.
Hampir sejam kemudian, Faustino Dy yang merupakan sekutu lama Marcos dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu tanpa bantahan.
Minggu lalu, pemilik sebuah firma pembinaan menuduh hampir 30 anggota Dewan Rakyat dan pegawai Jabatan Kerja Raya serta Lebuh Raya menerima wang sogokan.
Romualdez disebut dalam perbicaraan itu sebagai seseorang yang meluluskan pembiayaan tersebut tanpa pengawasan Dewan.
Presiden Marcos kelmarin mengumumkan bahawa bekas hakim Mahkamah Agung, Andres Reyes akan mengetuai suruhanjaya tiga anggota yang ditugaskan untuk meneliti projek kawalan banjir 10 tahun lalu.
Filipina mempunyai sejarah panjang skandal melibatkan dana awam, di mana ahli-ahli politik berpangkat tinggi yang didapati bersalah mengambil rasuah biasanya terlepas daripada hukuman berat. – AFP