PETALING JAYA – Kerajaan digesa memisahkan undang‑undang pengambilan tanah bagi tujuan kepentingan awam (infrastruktur) dan tujuan pembangunan semula perumahan bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak pemaju yang boleh menafikan hak komuniti asal.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata akta pengambilan sedia ada pada asalnya bertujuan memudahkan projek infrastruktur seperti jalan raya, LRT/MRT dan loji rawatan air tetapi telah disalahgunakan untuk tujuan komersial dan pembangunan perumahan semula.
Katanya, kaedah sama tidak wajar digunakan untuk kedua‑dua tujuan kerana potensi manipulasi, kadar pampasan tidak adil dan impak terhadap generasi pemilik asal khususnya komuniti Melayu di kawasan warisan seperti Kampung Sungai Baru.
“Saya mencadangkan agar wujud dua kategori jelas dalam undang‑undang pengambilan iaitu
pengambilan untuk kepentingan awam.
“Pengambilan untuk pembangunan perumahan / redevelopment merupakan satu mekanisme, syarat dan skim pampasan berbeza supaya ia tidak dilesapkan sebagai kepentingan awam semata‑mata,” katanya dalam Podcast Utama, Buletin TV3 malam ini.
Menurutnya, pemisahan ini penting untuk menghentikan ‘penyusupan’ alasan kepentingan awam demi tujuan keuntungan komersial.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memberi amaran terhadap kebiasaan pemaju mengeksploitasi kekosongan perundangan.
“Ada di mana kawasan seluas 7.8 hektar dilaporkan menghasilkan pampasan yang dianggap rendah iaitu sekitar RM62 juta, jumlah yang menurutnya jauh daripada nilai sebenar pasaran dan tidak setimpal dengan kerugian pemilik asal.
“Apabila pemaju mendapat tanah pada kos rendah, mereka boleh memindahmilik, memohon pinjaman bank dan menekan keuntungan besar tanpa manfaat sebenar kepada penduduk asal,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan perlaksanaan projek yang mengambil masa sehingga lapan tahun untuk melunaskan tuntutan, menimbulkan beban panjang kepada keluarga yang menunggu unit ganti dan menyebabkan ada pemilik yang meninggal dunia belum selesai tuntutan mereka.
Tambahnya, untuk mengurangkan manipulasi nilai, Johari menyarankan supaya tidak bergantung kepada satu laporan penilaian sahaja.
Beliau mencadangkan memanggil tiga penilai swasta bagi mendapatkan nilai pampasan yang lebih tepat dan kompetitif, serta mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak berkepentingan. – KOSMO! ONLINE