53 institusi pendidikan terjejas banjir di Sabah, Sarawak

2 hours ago 2
Keadaan banjir di pekan Donggongon, Penampang. - Foto MEDIA SOSIAL
  • Oleh MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
  • 17 September 2025, 3:46 pm

PUTRAJAYA – Sebanyak 53 buah institusi pendidikan di Sabah dan Sarawak terjejas bencana banjir yang mana melibatkan 24 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah serta 22 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di Sarawak setakat hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, selain itu, sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di premis institusi pendidikan KPM yang sedang beroperasi melibatkan lima di Sabah dan satu di Sarawak.

“KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sedang menyalurkan bantuan kecemasan kepada semua institusi pendidikan yang terjejas bencana banjir.

“Pemantauan berterusan situasi bencana banjir dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan, keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga pendidikan,” katanya hari ini.

KPM berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga empat orang murid yang terkorban akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di negeri Sabah.

“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |