CHICAGO – Penyerang muda Manchester United, Rasmus Hojlund menghantar mesej jelas kepada mana-mana penyerang baharu yang bakal tiba di Old Trafford termasuk Benjamin Sesko yang dikaitkan dengan perpindahan menyertai kelab itu.
Hojlund, 22, yang menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Bournemouth dalam aksi pramusim di Chicago, menyatakan bahawa dia siap untuk terus berjuang demi kekal dalam kesebelasan utama The Red Devils.
“Saya fikir rancangan saya sangat jelas, iaitu untuk kekal dan berjuang mendapatkan tempat saya, tidak kira apa yang berlaku. Saya masih muda dan saya rasa orang selalu lupa itu.
“Saya baru berumur 22 tahun dan telah belajar banyak perkara. Saya rasa prestasi saya sepanjang pramusim ini menunjukkan peningkatan,” katanya.
Hojlund yang menyertai United dengan nilai £72 juta (RM407 juta) dua tahun lalu bergelut dengan prestasi tidak konsisten, namun dilihat semakin menyerlah dalam beberapa aksi pramusim.
Jaringannya pada perlawanan menentang Bournemouth hadir tepat pada hari laporan menyatakan United telah membuat langkah pertama mendapatkan Sesko daripada RB Leipzig.
Bagaiamanapun, pengendali United, Ruben Amorim tidak memberikan jaminan kepada Hojlund mengenai kedudukannya dalam skuad utama musim ini.
“Saya sangat gembira dengan Rasmus, dia menjaringkan gol dan membentuk gandingan yang baik bersama rakan sepasukan lain. Tetapi, saya tidak tahu apa akan berlaku sehingga jendela perpindahan ditutup,” katanya.
Amorim turut memberi pujian kepada Dorgu, bek kiri yang baru menyertai United dari Lecce pada Februari lalu dengan harga £25 juta (RM144.4 juta) apabila memberikan bantuan gol kepada Hojlund sebelum turut menyumbat gol sendiri.
Sementara itu, Matheus Cunha tidak diturunkan kerana faktor keletihan, manakala pemain baharu, Bryan Mbeumo dijangka membuat penampilan pertama menentang Everton di Atlanta hujung minggu ini. – AGENSI