WALAUPUN hanya berstatus semi profesional, Liga A1 tetap berperanan sebagai ‘pembekal’ pemain kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovkski untuk memiliki skuad terbaik bagi mengharungi kem pusat, bulan depan.
Mengambil kira jangkaan peningkatan tahap kompetitif pertandingan itu, kualiti Liga A1 yang dianggap sebagai saingan divisyen kedua dalam hierarki bola sepak negara sudah makin menghampiri saingan utama, Liga Super.
Bekas pemain kebangsaan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh, berkata Liga A1tidak lagi berstatus pertandingan ‘cap ayam’ dan pemilihan pemain ke dalam skuad kebangsaan bukan hak eksklusif Liga Super.
“Sebenarnya istilah (pemilihan pemain terlalu menjurus kepada pemain dari kelab Liga Super). Tidak kiralah di mana pemain beraksi, tetapi kalau ada yang beraksi baik, jurulatih pasti akan menentukannya kalau jurulatih rasa mereka layak.
“Kenapa tidak (pilih pemain dari Liga A1 Semi-pro). Tetapi, kalau cerita mengenai Liga A1 Semi-pro, sekarang kita nampak ia menunjukkan perkembangan baik dan boleh bersaing dengan Liga Super.
“Kalau jurulatih rasa layak, kenapa tidak? Kalau bercerita tentang Liga A1 Semi-Pro, kita nampak kali ini pertandingan ini akan menyerlah dan saya lihat boleh bersaing dengan Liga Super,” katanya.
Bulan depan, skuad kendalian Cklamovkski akan mengharungi dua aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin sebagai persiapan sebelum mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos dan Nepal dan Oktober dan November ini.
Bagaimanapun, Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya berharap saingan Liga A1 Semi-Pro tidak lagi dipalit isu gaji yang dirasakan akan merosakan kualiti pertandingan berkenaan.
“Nampak ia makin menyerlah dan kita tidak mahu timbul isu pasal gaji. Kita nampak pertandingan ini sudah gah, jadi kena teruskan kerana saya percaya pertandingan ini akan menyajikan saingan menarik,” katanya.