PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi akan melaksanakan pemantauan secara bersama dan berkala terhadap pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelaporan berkala akan dijalankan sebanyak dua kali setahun bagi memastikan segala perancangan berjalan mengikut jadual dan matlamat yang ditetapkan.
“Kita akan pastikan perjalanan projek ini dilaksanakan seperti yang dirancang kerana ia melibatkan tempoh yang panjang sehingga tahun 2030,” katanya ketika ditemui selepas Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX 2025) di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Katanya, kerjasama erat antara kedua-dua kementerian itu penting bagi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif yang telah dirangka kerajaan.
Shamsul Azri berkata, semua projek yang telah diluluskan perlu dilaksanakan segera tanpa berlengah atau terhalang oleh kerenah birokrasi, tegas seorang tokoh kanan kerajaan.
“Sebarang kelewatan hanya akan menyebabkan kekecewaan dalam kalangan rakyat yang mengharapkan manfaat daripada projek berkenaan.
“Tujuan kita berkhidmat adalah untuk rakyat. Kita sepatutnya menggembirakan rakyat, bukan menghampakan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata elemen integriti dan akauntabiliti akan menjadi panduan utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sekali gus membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Negara Mac lalu akan menjadi instrumen utama kepada budaya tata kelola baharu, dengan memberi penekanan terhadap pemantauan, penilaian dan ketelusan dalam setiap pelaksanaan dasar kerajaan. – KOSMO! ONLINE