Enggan terbuai status No. 2 dunia

9 hours ago 6

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan terbuai dengan pencapaian selaku pasangan nombor dua dunia, sebaliknya memilih untuk kekal fokus memperbaiki mutu permainan menjelang Kejohanan Dunia BWF 2025 di Paris hujung bulan ini.

Menurut Thinaah, ranking itu hanyalah ‘satu angka’ dan bukan jaminan untuk memperoleh kejayaan mudah apatah lagi dalam saingan beregu wanita yang kini disifatkan semakin sengit.

“Perkara utama bagi kami adalah untuk terus mengekalkan konsistensi permainan dan sentiasa menyokong satu sama lain sepanjang perlawanan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Pearly-Thinaah akan turun sebagai pilihan kedua dalam Kejohanan Dunia di Paris, Perancis berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos nanti, namun ranking sebagai beregu pilihan tidak memberi kelebihan besar.

“Seperti saya katakan, ia bukan mengenai kedudukan pilihan semata-mata kerana terdapat ramai lagi pemain yang bagus dalam acara beregu wanita.

“Fokus kami untuk terus konsisten dalam permainan dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Terdapat ramai lagi pemain bagus yang lain. Tidak boleh dikatakan kami dapat mengelak pemain utama kerana semua pemain berada pada tahap yang setara sekarang.

“Kami gembira menjadi nombor dua dunia, itu tidak dapat dinafikan. Tetapi, fokus utama kami sekarang adalah untuk memastikan permainan kami menjadi lebih konsisten,” ujarnya.

Sepanjang 2025, Pearly-Thinaah terus mempamerkan aksi meyakinkan termasuk menjuarai Terbuka Thailand dan layak empat kali ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia, termasuk di Indonesia dan China.

Prestasi luar biasa itu turut menarik perhatian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melanjutkan kontrak lumayan kepada mereka sehingga tamat Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |