LONDON – Bintang Arsenal, Bukayo Saka menjadi tumpuan ketika Arsenal tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur dalam aksi persahabatan pramusim kelmarin apabila dia kelihatan keluar padang dalam keadaan cedera.
Spurs mencatat kemenangan hasil jaringan tunggal Pape Matar Sarr pada separuh masa pertama apabila sepakan lambung dari tengah padang berjaya memperdayakan penjaga gol Arsenal, David Raya
Saka terpaksa mendapatkan rawatan selepas berdepan terjahan keras daripada penyerang muda Spurs, Mathys Tel pada separuh masa kedua sebelum digantikan oleh Max Dowman pada minit ke-77.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila pemain sayap itu dilihat berjalan terhincut-hincut ketika kembali semula ke padang bersama rakan sepasukannya sewaktu upacara penyampaian trofi.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, tidak memberikan sebarang perkembangan lanjut mengenai kecederaan Saka selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengambil sebarang risiko terhadap mana-mana pemain menjelang aksi persahabatan menentang Villarreal di Stadium Emirates minggu hadapan.
Kecederaan Saka bukan satu-satunya tamparan buat The Gunners. Leandro Trossard, yang dimasukkan pada separuh masa kedua turut dipaksa keluar padang hanya lima minit sebelum tamat perlawanan akibat masalah otot.
“Dia rasa sedikit ketegangan. Saya rasa ketika dia cuba berpusing, dia ditolak dan kemudian rasa seperti ada sesuatu yang tak kena dengan ototnya. Kami akan menilai keadaannya dalam masa terdekat,” kata Arteta.
Sementara itu, beberapa tonggak utama lain turut tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut termasuk Gabriel Magalhaes, Riccardo Calafiori, Jurrien Timber dan penjaga gol Kepa Arrizabalaga.
Namun, Arteta optimis ketiga-tiga pertahanan itu akan kembali menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United pada 17 Ogos nanti. – AGENSI