PETALING JAYA – Pegawai wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi penghormatan dan kepercayaan sebagai salah seorang speaker program ‘Defence Leaders Forum’ di Warsaw, Poland yang berlangsung pada 25 sehingga 27 Mac lalu.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata, Leftenan Kolonel Ts Dr. Maimunah Omar antara 84 speaker dari seluruh dunia yang terdiri daripada Pegawai Kanan Tentera, SME dan Pemain Industri Pertahanan yang diundang khas di program tersebut.
“Maimunah dari Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) menjadi pegawai wanita tunggal dari benua Asia dan wakil tunggal dari ASEAN diberi kepercayaan berada di pentas antarabangsa tersebut bersama speaker dari Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), British Army, Kanada dan Amerika Syarikat.
“Perkongsian disampaikan bertajuk ‘Military and HADR Logistics in ASEAN: Challenges and Opportunities’. Fokus perkongsian menjurus kepada mekanisme pengendalian bencana oleh ASEAN menerusi pelbagai platform dan saluran serta peranan tentera menjadi penggerak utama di dalam pengendalian dan pengurusan bencana di majoriti negara ASEAN,” kata kenyataan itu.
Menurut Mindef, turut dikongsikan oleh Maimunah adalah kerjasama dan kesepakatan ASEAN serta cabaran yang ditangani bersama.
Kata Mindef, Maimunah juga memaklumkan kolaborasi bersama EU menerusi Enhancing Security Cooperation in and with Asia (ESIWA), German Armed Forces dan MiDAS melibatkan seminar dan bengkel Pengurusan Bencana bersama ASEAN akan diadakan pada September tahun ini di Kuala Lumpur.
“Pemilihan Maimunah oleh pihak penganjur adalah susulan daripada penglibatan cemerlang beliau sebagai salah seorang speaker semasa seminar dan bengkel ‘Five Power Defence Arrangement (FPDA) – Logistic Group’ dan ‘FPDA Working Group’ yang diadakan tahun lalu,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE