Kebakaran paip gas: Nilai kerugian dianggarkan RM65.4 juta

8 hours ago 4

SHAH ALAM – Jumlah kerugian kebakaran paip gas yang memusnahkan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berdasarkan pengamatan dan penilaian dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) terhadap kejadian yang telah memusnahkan 437 buah rumah keseluruhannya.

Katanya, jumlah kerugian tersebut termasuk kos pendawaian di seluruh kawasan terjejas.

“Manakala dengan tindakan pantas JBPM dan pasukan penyelamat telah berjaya menyelamat nilai lebih kurang RM285.9 juta,” kata pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 25 pegawai penyiasat kebakaran JBPM dibawa dari lima negeri kini menjalankan penilaian akhir dengan memfokuskan anggaran kerugian dan aspek teknikal keselamatan di kawasan terjejas akibat kebakaran paip gas di Taman Putra Harmoni Putra Heights, di sini.

Amirudin memaklumkan, berdasarkan kronologi kejadian mendapati laporan polis diterima pada pukul 8.10 minit sebelum bomba tiba di lokasi kejadian pukul 8.22 pagi.

Tambahnya, tindakan penutupan saluran gas pertama pula dilakukan pada 8.46 pagi dan disusuli menutup saluran gas kedua 11.46 pagi serta api berjaya dipadamkan keseluruhannya kira-kira pukul 3.45 petang.

Justeru, kata Amirudin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Selangor, Datuk Johary Anuar dilantik bagi melihat keseluruhan semua proses pemulihan di lokaliti itu.

“Proses pemulihan meliputi kos kediaman-kediaman yang perlu dinaiki dan baik pulih infrastruktur,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan membantu membina semula rumah rosak keseluruhan, Amirudin menegaskan itu merupakan langkah seterusnya selepas melihat kepada kos penilaiannya.

“Kita akan nilaikan dulu berapa kos naik taraf atau pembaikan dan itu saya rasa ada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mengatakan untuk membaiki.

“Tetapi kita anggarkan dulu nilai. Mungkin ambil masa sampai dua atau tiga minggu buat penilaian yang sebahagian telah dilihat JBPM dan tidak akan banyak beza dengan angka itu. Kalau yang tidak selamat, kita terpaksa robohkan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |