JAKARTA – Bank Pusat Indonesia akan ‘campur tangan secara agresif’ dalam pasaran domestik untuk melindungi mata wang rupiah yang terjejas akibat tarif punitif Presiden Donald Trump.
Pasaran saham Indonesia akan dibuka semula esok, buat kali pertama sejak Trump melaksanakan cukai import ke atas negara-negara sahabat dan seteru pada minggu lalu yang menghuruharakan pasaran saham dan mencemaskan kerajaan seluruh dunia.
Pasaran Indonesia ditutup sejak 28 Mac lalu kerana cuti umum, dengan mata wang rupiah jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia dalam tahun 1990-an.
Pasaran saham dunia turut menjunam hari ini apabila China ‘menghentam’ Amerika dengan tarif timbal balik sekali gus meningkatkan perang perdagangan yang boleh mencetuskan kemelesetan global.
Lembaga gabenor bank pusat Indonesia hari ini bersetuju campur tangan dalam pasaran pesisir di Asia, Eropah dan New York untuk menstabilkan mata wangnya selepas memetik ‘tekanan tinggi global’ terhadap rupiah
“Bank Indonesia juga akan campur tangan secara agresif dalam pasaran tukaran asing domestik selepas pembukaan pada 8 April 2025 dan membeli sekuriti kerajaan dalam pasaran sekunder,” katanya dalam satu kenyataan.
‘Hari Pembebasan’ yang diumumkan Trump menyaksikan Indonesia dikenakan tarif tambahan 32 peratus terhadap barangannya, jauh lebih tinggi daripada kadar dasar 10 peratus ke atas semua negara lain dan juga lebih tinggi berbanding jirannya iaitu Malaysia, Singapura serta Filipina.
Dalam perkembangan sama, Presiden Prabowo Subianto berkata hari ini bahawa Jakarta akan berunding dengan Washington untuk meminta kadar tarif lebih berpatutan. – AFP