IPOH – Jenazah Allahyarham seniwati lagenda, Datin Noor Azizah Azizul Hassan, 78, yang meninggal dunia awal pagi tadi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini hari ini.
Jenazah pelakon veteran yang popular dalam filem klasik Enam Jahanam arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu selamat dikebumikan pada pukul 2.50 petang.
Lebih 100 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan menghadiri pengebumian Allahyarham termasuk penyanyi terkenal era 70-an yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya di Kampung Sungai Rapat di sini dengan menggunakan van ke Masjid Paloh untuk solat jenazah sekitar pukul 1 petang.
Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, dan dua anak, Khairena dan Khairi masing-masing berusia 38 dan 34 tahun serta menantu, Nur Zulaikha Azman, 35, dan seorang cucu, Kaiser Ali berusia enam tahun.
Menurut Khairena, mereka sekeluarga sempat keluar makan malam bersama dan ibunya turut meluangkan masa menyaksikan bunga api.
“Pagi tadi bapa panggil saya sekitar pukul 1 pagi ketika itu ibu mengalami sesak nafas. Melihat keadaan ibu, saya mula rasa tidak sedap hati dan terus menghubungi ambulans.
“Ketika ambulans tiba, ibu sudah tidak sedar diri dan pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sehingga dimaklumkan ibu sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, sepupu Allahyarham, Yong Arbeya Abd. Rahman, 69, berkata, kehilangan sepupunya itu amat dirasai kerana Noor Azizah dikenali keluarga sebagai seorang peramah, lemah lembut dan rajin memasak.
“Setiap tahun arwah akan bersedekah di mana terdapat 10 buah rumah anak-anak yatim yang akan menerima zakatnya. Di Masjid Paloh ini sendiri banyak yang disumbangkan termasuk penghawa dingin,” katanya. – KOSMO! ONLINE