Kerajaan beri rebat 30 peratus kepada syarikat produksi tempatan

6 hours ago 3

PUTRAJAYA – Kerajaan bakal memberikan rebat tunai sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet penghasilan sesebuah karya di bawah Insentif Filem Malaysia (FIMI) kepada syarikat produksi tempatan.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, perkara tersebut adalah bagi merangsang syarikat produksi menghasilkan lebih banyak karya setaraf antarabangsa pada masa akan datang.

“Kita perlu beri peluang kepada syarikat filem tempatan dengan menghulurkan pelbagai struktur bantuan lebih baik dan mantap kalau bajet RM7 juta, insya-Allah sebanyak RM1 juta akan dikembalikan.

“Rebat itu diberi menerusi FIMI bagi membantu syarikat penggambaran dan menghargai inisiatif mereka.

“Ini juga satu laluan ke depan yang mana syarikat produksi bukan hanya bergantung dana finas tetapi keterbukaan penglibatan syarikat lain dan juga rumah produksi,” katanya pada majlis pelancaran filem Blood Brothers Bara Naga di sini, hari ini.

Beliau juga meminta syarikat produksi menghasilkan lebih banyak karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi mampu menjana kutipan ‘box office’.

Fahmi menjadikan Skop Production yang juga merupakan penerbit filem Blood Brothers sebagai penanda aras sebagai syarikat produksi yang berjaya melahirkan banyak naskhah berkualiti dan meraih kutipan pecah panggung.

“Kita perlu hasilkan filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi mampu jana pendapatan. Saya yakin boleh dilakukan.

“Nak dapatkan filem bagus. Asasnya perlu ada skrip mantap sutradara yang bagus dan lengkap

“Ini saya minta pada Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib untuk meneliti dan dapat bantu lahirkan lebih banyak syarikat produksi seperti Skop Production.

“Jadi, ambillah sedikit masa tonton filem tempatan. Buktikan filem kita, wajah kita mampu pergi jauh,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan memperkenalkan FIMI dengan rebat tunai 30 peratus ke atas semua Kelayakan Perbelanjaan Pengeluaran Malaysia (QMPE) untuk memberi insentif kewangan tambahan bagi pembangunan kandungan kreatif khusus untuk filem, televisyen dan pengeluaran skrin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |