Tarif import barangan AS hanya 5.6 peratus

6 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Purata tarif import ke atas barangan dari Amerika Syarikat (AS) ke negara ini hanya sekitar 5.6 peratus dan bukan 47 peratus seperti yang didakwa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia ke AS dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan tersebut.

“Mengikut kefahaman kami, pengenaan tarif oleh AS bukanlah refleksi tarif yang dikenakan kepada mereka, tetapi adalah disebabkan lebihan dagangan ke atas mereka.

“Malaysia memiliki lebihan dagangan sebanyak AS$25 bilion (RM111 bilion) ke atas AS begitu juga negara seperti Vietnam yang dikenakan tarif lebih tinggi, sedangkan Singapura misalnya, yang memiliki defisit perdagangan dengan AS hanya dikenakan tarif timbal balik 10 peratus.

“Pada masa sama, Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai solusi yang akan mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia. 

“Sehubungan itu, buat masa ini, Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan timbal balas,” katanya dalam sidang akhbar berhubung pengenaan tarif AS di Menara MITI di sini semalam.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan menyemak semula sasaran pertumbuhan pelaburan diluluskan sebanyak lima peratus untuk 2025 susulan pengenaan tarif tersebut, yang disifatkan beliau mampu memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, dan mungkin tahun-tahun akan datang.

Tambahnya, dari segi pelaburan yang diluluskan, maklum balas awal dari pelabur asing dan domestik kebanyakannya menyatakan masih terlalu awal untuk menilai impak kepada operasi masing-masing sehingga tarif dilaksanakan pada 9 April. 

“Beberapa pelabur berkongsi bahawa rantaian bekalan mereka akan terkesan, terutama dari segi kontrak pembuatan dan ada pelabur Malaysia yang sedang memperlahankan pelan pengembangan perniagaan masing-masing serta mula berjimat, sambil memfokus kepada perluasan pasaran.

“Ketika sesetengah eksport Malaysia akan menjadi lebih kompetitif berbanding negara lain yang dikenakan tarif lebih tinggi, kesan pengenaan tarif kepada permintaan global dikhuatiri akan menurunkan nilai eksport secara keseluruhan.

“Begitu juga sekiranya ramai pelabur datang ke Malaysia disebabkan kadar tarif lebih rendah, ia akan meningkatkan lebihan dagangan negara berbanding AS yang telah mengakibatkan pengenaan tarif timbal balas ini, jelas ia bukannya satu solusi jangka panjang,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |