TEHRAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memecat seorang timbalannya kerana melakukan pelayaran mewah ke Antartika, lapor saluran berita CNN kelmarin.
Beliau mengarahkan Shahram Dabiri disingkirkan daripada jawatannya sebagai Naib Presiden Hal Ehwal Parlimen dekri yang dikeluarkan Sabtu lalu.
Pezeshkian menyifatkan pelayaran rekreasi itu sebagai boros.
“Dalam konteks ketika tekanan ekonomi terhadap penduduk (Iran) kekal tinggi, perjalanan rekreasi yang mahal oleh pegawai kerajaan, walaupun dibiayai poket mereka sendiri, tidak boleh dibenarkan,” kata beliau dalam arahan yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi, IRNA.
Dalam surat itu, beliau turut memecat Dabiri iaitu pakar perubatan berusia 64 tahun dan orang kepercayaan Pezeshkian.
Dabiri menafikan salah laku tetapi berkata, beliau menerima keputusan Presiden Iran.
Pezeshkian juga berkata, tindakan Dabiri bercanggah dengan prinsip hidup sederhana yang perlu diamalkan oleh semua pegawai kerajaan terutamanya ketika Iran berdepan cabaran ekonomi.
Gambar-gambar yang dikongsi di media sosial sejak beberapa hari lalu menunjukkan Dabiri bersama seorang wanita yang dipercayai isterinya bergambar dekat kapal persiaran, Plancius.
Kapal mengibarkan bendera Belanda itu menawarkan ekspedisi mewah ke Antartika sejak 2009 dengan harga perjalanan lapan hari berjumlah €3,885 (RM19,000) setiap seorang.
Iran mengalami masalah ekonomi selama bertahun-tahun, sebahagiannya disebabkan oleh sekatan Amerika Syarikat (AS) bagi mengekang program nuklear Tehran.
Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani dipetik IRNA sebagai berkata, keputusan presiden memecat Dabiri menunjukkan beliau tidak mengamalkan kronisme. – AGENSI/AFP