KUALA LUMPUR – Sesetengah daripada eksport Malaysia mampu menjadi lebih kompetitif susulan tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara termasuk Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan ke atas import dari Malaysia oleh negara itu masih dianggap sederhana berbanding negara-negara serantau.
Ini berbanding Kemboja (49 peratus), Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus), Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus).
“Ramai penganalisis juga berpendapat situasi ini menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pengimport dan syarikat AS yang sedang mencari input atau barangan perantaraan yang lebih kompetitif,” katanya pada sidang akhbar berkenaan tarif AS di sini semalam.
Jelasnya, dari sudut kesan penggantian (substitution effect), eksport minyak sawit negara misalnya, dijangka meraih manfaat apabila permintaan global beralih kepada Malaysia.
“Minyak sawit kita juga mungkin menjadi lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain,” ujarnya.
Pada masa sama, Tengku Zafrul turut mengingatkan bahawa langkah tarif timbal balas AS itu dijangka memberi kesan negatif kepada perdagangan global dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Apabila permintaan berkurangan, hasil eksport akan terjejas dan peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan juga akan menurun.
“Penurunan permintaan daripada AS juga boleh menyebabkan industri dan pasaran tempatan berdepan risiko lambakan (dumping) produk import dari negara lain yang berdepan lebihan kapasiti.
“Keadaan ini akan meningkatkan persaingan kepada pengeluar tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, buat masa ini beberapa sektor utama eksport Malaysia ke AS seperti semikonduktor masih dikecualikan daripada tarif berkenaan.
“Bahan mineral kritikal, produk farmaseutikal dan beberapa produk berkaitan tenaga juga tidak terjejas. Namun, banyak sektor lain dijangka menerima impak antaranya mesin dan peralatan, perabot, getah dan plastik,” katanya. -KOSMO! ONLINE