KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad mengesahkan sedia untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan badan induk itu nanti.
Beliau yang pernah menjadi ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam dilihat sebagai antara calon berpengaruh serta berpengalaman luas bagi mengisi kerusi tersebut.
Selain dianggap memiliki pengalaman menerajui persatuan sukan, Azmi turut memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin yang tidak akan mempertahankan jawatannya.
“Saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut sekiranya diberikan kepercayaan. Saya juga sudah berhubung dengan Hamidin bagi mendapatkan restu dan bekas Presiden FAM itu juga menyokong hasrat saya.
“Saya berpegang pada prinsip untuk berkhidmat demi pembangunan sukan negara. Jika diberikan peluang, saya akan berusaha memartabatkan sukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang juga pemilik Melaka FC.
Beliau yang ketika ini menggalas jawatan Naib Presiden MOM turut memiliki beberapa jawatan utama dalam badan sukan lain seperti Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), sekali gus menjadikan dia antara calon terbaik untuk jawatan No.2 MOM itu.
Difahamkan, beberapa tokoh sukan lain dikatakan turut menunjukkan minat bagi merebut jawatan tersebut tetapi belum ada sebarang pengesahan rasmi dibuat dengan pemilihan kali ini dijangka berlangsung sengit.
Jawatan Timbalan Presiden MOM boleh dianggap antara kerusi paling penting kerana memainkan peranan sebagai penyambung tugas Presiden selain terlibat secara langsung dalam perancangan menghadapi temasya-temasya besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.
Sebagai rekod, Azmi memiliki pencapaian cukup baik ketika mengetuai kontinjen negara pada Sukan SEA Vietnam apabila Malaysia membawa pulang 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa. – KOSMO! ONLINE