I jadi ekstra ‘gedik’ dengan Allah – Neelofa

9 hours ago 5

PETALING JAYA – “I jadi ekstra ‘gedik’ dengan Allah”.

Demikian pengakuan usahawan selebriti, Neelofa yang mendedikasikan doa meminta kelancaran untuk sebarang urusan dalam setiap solatnya sejak Ramadan lalu.

Menjelaskan lagi perkara itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, berkata amalan tersebut memberikan kesan mendalam dalam kehidupan serta kerjaya sekali gus ingin dikongsikan dengan khalayak.

“Amalan yang saya dapat pada Ramadan kali ini adalah ambil masa lebih untuk satu, dua saat dari qiam ke rukuk dalam setiap solat. Saya boleh rasakan perbezaan.

“Selepas itu akhir Ramadan saya ada dengar satu perkara mengenai doa dalam sujud, saya jadi ekstra ‘gedik’ dengan Allah. Saya nak guna gedik sebab kita akan macam merengek ‘Allah tolonglah’.

“Setiap sujud saya akan sebut satu doa ‘as simple as’ meminta bantuan Allah supaya bukakan selera makan anak-anak dan sejahterakan mereka,” katanya ketika diwawancara dalam sebuah program audiosiar.

Dalam sesi berkenaan, Neelofa berbual dengan ahli politik dan aktivis kemasyarakatan, Nurul Izzah Anwar berkenaan topik kekuatan doa serta solat yang kusyuk.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia akan mendedikasikan satu doa yang juga permintaan kepada-Nya dalam setiap solat.

“Maknanya macam subuh pagi tadi dalam solat sunat dan fardhu saya meminta doa dilancarkan urusan untuk pertemuan kita hari ini.

“Semoga yang kita cakapkan ini akan menambahkan keimanan dan beri manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

Pada masa sama, Neelofa juga mengakui berasa rugi apabila hanya menyedari kebaikan amalan tersebut selepas sekian lama.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut sependapat dengan isteri kepada penceramah bebas Haris Ismail itu.

“Selepas tengok video ini mesti ramai yang menggandakan doa,” ujar seorang netizen.

“Masa sujud itu lah kita rasa betapa kerdilnya kita sebagai hamba Allah dan rasa semakin dekat dengan-Nya,” tulis peminat.

“Terima kasih Neelofa. Perkongsian anda memberi inspirasi,” kata pengguna laman sosial lain.

Begitupun, ada juga dalam kalangan pengikut laman sosial tidak selesa dengan penggunaan perkataan gedik yang disifatkan kurang manis.

“Perlu ke cakap ekstra gedik. Tiada ke ayat lebih elok sebab kau bercakap dengan Allah,” luah seorang pengikut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |