PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu ada beberapa mesej perbualan dalam WhatsApp berkaitan dengan Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kejadian kanak-kanak autistik itu hilang di Apartment Damansara Damai di sini pada 5 Disember 2023.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superitendan Mohd. Zaidi Abu Hassan berkata, perbualan WhatsApp itu ialah, ‘Zayn hilang’, ‘dia Lari’, ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’, ‘letih gila aku mencari’ dan ‘geram betullah’ yang mana kesemua mesej itu antara pukul 12.20 tengahari hingga 12.59 tengahari.
Kesemua mesej itu daripada telefon bimbit yang dirampas semasa siasatan yang mana salah satunya adalah ‘iCloud’ yang didaftarkan atas nama ‘Ismanira’ manakala Huawei menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan.
Mohd. Zaidi berkata, perbualan WhatsApp atas nama ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’ itu diekstrak daripada dua telefon bimbit tersebut serta dua kad sim yang diserahkan oleh pegawai penyiasat kes.
Semasa prosiding, mahkamah turut diberitahu terdapat juga beberapa perbualan WhatsApp pada 20 Jun 2023 antaranya ‘Stressnya sampai rasa macam nak bunuh orang je’, aku nak rehat pun tak leh’, ‘Hang belasah je lah sampai puas’ dan ‘Pastu nanti sakit ke mati baru tahu.
Selain itu terdapat juga dua mesej iaitu ’stress gilalah dengan Zayn ni’ dan ‘macam nak bunuh diri je sekarang’ pada 11 Oktober 2023.
Terdahulu saksi pendakwaan ke-25 itu memberitahu pada 4 Jun 2024, dia telah diserahkan satu beg plastik yang mengandungi dua telefon bimbit masing-masing jenis Huawei dan Iphone dalam keadaan baik.
“Hasil pemeriksaan dan analisa ke atas data barang kes jenama Huawei dan telah mengeluarkan perbualan di aplikasi WhatsApp melibatkan tarikh 20 Jun, 11 Oktober dan 5 Disember pada tahun 2023.
“Setelah selesai membuat analisa ke atas barang kes yang diterima, saya telah menyediakan Laporan Pemeriksaan bertarikh 6 Jun 2024. Sepanjang masa barang kes ini di dalam simpanan saya, barang kes tersebut saya simpan di dalam kabinet besi berkunci kepunyaan saya di dalam bilik barang kes dan saya seorang saja yang mempunyai akses ke atas kabinet besi tersebut. Barang kes bersama-sama laporan juga turut disimpan di dalam almari besi berkunci,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE