Tindakan Amerika Syarikat bawa kepada peperangan perdagangan dunia

7 hours ago 5

KOTA TINGGI – Tindakan Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan tarif lebih tinggi dijangka membawa kepada peperangan perdagangan dunia (trade war).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia turut tidak terkecuali akan berhadapan cabaran dan keadaan tidak menentu, susulan tindakan Amerika Syarikat itu.

“Tindakan AS memperkenalkan tarif lebih tinggi itu menimbulkan persoalan apakah dia asas-asas peraturan perdagangan untuk masa depan. Ini kerana sebelum ini yang mendukung dan memperkenalkan supaya perdagangan dunia ini bebas adalah AS sendiri, namun sekarang AS juga yang telah menarik sistem yang dia perkenalkan, menyebabkan dunia kini berada dalam keadaan tidak ada ketentuan,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Presiden Donald Trump dilaporkan mengumumkan AS akan memperkenalkan tarif asas 10 peratus kepada semua negara dan duti lebih tinggi membabitkan beberapa negara, termasuk Malaysia.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24 peratus termasuk kadar asas, manakala negara serantau seperti Kemboja pada 49 peratus, Vietnam (46 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus) dan Singapura (10 peratus).

Dalam pada itu Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, usaha kerajaan untuk berunding dengan AS mungkin akan berjaya kerana mempunyai hubungan yang baik.

“Namun apabila AS mengenakan tarif yang begitu tinggi, ia seolah-olah melaksanakan ‘protectionism’ dan menghalang perdagangan dunia yang bebas

“Apabila perdagangan dunia tidak bebas, terhalang dan tersekat kerana tarif yang tinggi, maka banyak negara akan mengalami kemerosotan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |