Laporan urin belum diterima, kes dadah Along ditunda lagi

8 hours ago 4

SEPANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes urin melibatkan pelawak dan pelakon, Along Cham.

Perintah tersebut dibuat Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan selepas pihak pendakwaan hanya menyerahkan dua dokumen berkaitan Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, namun belum mengemukakan dokumen untuk kes saringan air kencing.

Peguam mewakili Along, Zaleha Al-Hayat memaklumkan mahkamah telah menetapkan tarikh 24 April depan bagi serahan dokumen tersebut.

“Pihak pendakwaan masih belum serah dokumen bagi saringan air kencing. Jadi, 24 April ditetapkan untuk serahan dokumen kes urin.

“Hari ini hanya dua dokumen berkaitan dua seksyen diserahkan. Kami masih menunggu dokumen lengkap bagi saringan kencing,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online.

Sementara itu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, memaklumkan pertukaran peguam dilakukan atas persetujuan keluarganya demi mencari pembelaan terbaik dalam kes tersebut.

“Pertukaran peguam atas persetujuan keluarga. Tak salah rasanya nak cari peguam yang terbaik untuk urus kes saya.

“Peguam sebelum ini pun sudah dimaklumkan. Tiada sebarang isu antara kami,” ujarnya.

Terdahulu, pada 28 Februari lalu, laporan kimia berkaitan kes dadah membabitkan Along telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Along didakwa memiliki dadah disyaki jenis kanabis seberat 1.49 gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, Along turut berdepan dua lagi pertuduhan termasuk memiliki kanabis seberat 49.61 gram serta memasukkan dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) ke dalam badan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, pada jam 10 malam, hari sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta sama. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Along bagi satu pertuduhan dadah jenis kanabis yang berlaku pada tarikh sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |