Pemerintah Indonesia perlu buka ruang pendamaian – Mapim

1 day ago 3

PETALING JAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan rasa prihatin terhadap krisis yang sedang melanda Indonesia ketika ini dan berharap kepimpinan pemerintah serta organisasi masyarakat (ormas) di negara itu dapat mencari penyelesaian tuntas.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi meruncing yang berlaku bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Indonesia, malah memberi kesan kepada kestabilan dan keharmonian rantau ini.

Menurutnya, Indonesia sebagai negara umat Islam terbesar dengan kepelbagaian etnik, agama dan budaya diyakini mampu menangani cabaran sekiranya kepimpinan serta masyarakat madani bertindak bijaksana dan berjiwa besar.

“Keutamaan mesti diberikan kepada rakyat agar kebajikan mereka tidak terpinggir dalam apa jua tindakan politik atau keputusan pemerintah.

“Peranan ormas juga penting untuk tampil sebagai jambatan perundingan, bukan hanya pemerhati. Penyelesaian sebenar perlu dicapai melalui dialog dan musyawarah nasional bagi mengelakkan ketegangan serta perpecahan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, rantau ASEAN turut perlu menunjukkan solidariti kerana kestabilan Indonesia akan menjamin keamanan serantau.

“Mapim menyeru pemerintah Indonesia supaya membuka ruang seluasnya untuk proses perdamaian yang adil dan inklusif, manakala pihak ormas perlu mengutamakan maslahat umat dan negara,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tunjuk perasaan di Indonesia merebak ke seluruh negara itu, selepas orang ramai berhimpun untuk membantah kematian seorang penunggang teksi motosikal akibat dilanggar kenderaan polis pada Jumaat lalu.

Gambar-gambar terpapar di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di bandar utama seperti Bandung, Surabaya dan Medan dengan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |