KUANTAN – Pahang yang mempunyai potensi dan kelebihan dalam sektor pertanian akan terus menjadi hab agro makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Mohd Soffi Abd Razak berkata, ini terbukti apabila Pahang menjadi penyumbang kedua terbesar pertanian dengan nilai jualan mencecah RM25.12 bilion pada 2023.
“Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian menyumbang 22.3 peratus kepada KDNK negeri pada 2024 iaitu peratusan sumbangan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Kesimpulannya Pahang bukan sekadar ‘bercadang’ tetapi sudah berfungsi sebagai hab agromakanan utama,”katanya dalam penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurutnya Pahang mempunyai kelebihannya lebih spesifik di setiap daerah dengan Cameron Highlands spesifik kepada sayur, Rompin (Susu), Temerloh (ikan patin) dan Kuantan (benih ikan dan marin).
Jelasnya, ekonomi Pahang sangat berorientasikan pertanian apabila subsektor tanaman sahaja menyumbang RM22.11 bilion menyaksikan 88 peratus daripada nilai jualan tersebut, dipacu oleh kelapa sawit dan sayur-sayuran.
Katanya, Pahang juga menjadi hab pengeluaran sayur-sayuran dan susu segar negara dan kelebihan Pahang bukan hanya pada komoditi sawit, tetapi juga pada pengeluaran makanan bernilai tinggi.
“Daerah Cameron Highlands menerajui pengeluaran sayur Malaysia dengan nilai jualan mencecah RM3.6 bilion,ini menjadikan Pahang “bakul makanan” utama untuk sayur-sayuran tanah tinggi bagi pasaran domestik dan eksport.
“Pahang juga merupakan pengeluar susu segar tertinggi di Malaysia dengan jumlah pengeluaran sembilan juta liter yang mana daerah Rompin adalah penyumbang utama diikuti oleh Bentong,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

14 hours ago
14















































