Speedy Tigers lanyak Myanmar 21 gol

14 hours ago 13

PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara mempamerkan kelas tersendiri apabila berpesta gol membelasah Myanmar 21-1 pada aksi pembukaan Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus mengesahkan status sebagai pilihan pingat emas di Chonburi semalam.

Speedy Tigers tidak mengambil masa lama untuk mengawal permainan apabila jentera serangan diterajui Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri, Mohd Fitri Saari dan Muhajir Abdu Rauf tampil dengan penyudah klinikal sepanjang 60 minit.

Azrai Aizad menjadi pemusnah utama dengan meledak lapan jaringan termasuk dua pukulan sudut penalti, disusuli empat gol oleh Syed Syafiq Syed Cholan. 

Norsyafiq turut menyerlah dengan tiga jaringan, Muhajir menyumbat dua, manakala Amanraj Singh, Fitri Saari, Alfarico Lance Liau Jr. serta Shello Silverius masing-masing menambah satu gol melengkapkan pesta jaringan negara.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Sarjit Singh mengingatkan keputusan besar itu bukan gambaran sebenar kekuatan Malaysia kerana keutamaan adalah mengekalkan standard permainan secara konsisten sepanjang kejohanan.

“Pemain beraksi dengan baik dan menggerakkan bola dengan lancar, tetapi Myanmar masih pasukan yang sedang meningkat. Jadi keputusan besar ini bukan penanda aras sebenar, yang penting kita kekalkan momentum,” katanya.

Sarjit turut menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa isu teknikal melibatkan keadaan padang yang didakwa tidak sempurna sehingga menjejaskan kualiti permainan.

“Padang ini ada masalah. Kedua-dua venue ada isu yang sama, jadi beberapa permainan kita tidak menjadi,” jelasnya.

Biarpun menang besar, Sarjit menegaskan cabaran sebenar hanya bermula apabila mereka berdepan pasukan lebih berkualiti yang menuntut tahap disiplin dan intensiti serangan lebih konsisten.

“Kita datang ke sini untuk menang kejohanan. Jadi kita perlu bermain dengan disiplin, menggerakkan bola dan mengambil peluang sebaiknya,” ujarnya. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |