Logo baharu Nasom lebih segar, progresif

14 hours ago 14

PETALING JAYA – Logo baharu yang lebih segar dan progresif akan memperkukuhkan peranan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) sebagai peneraju perkhidmatan dan advokasi autisme di negara ini.

Presidennya, Mohd. Nazrul Mohd. Amin berkata, ia membawa aspirasi Nasom untuk tampil bersemangat dengan identiti yang lebih moden dan seiring dengan perkembangan semasa.

Katanya, ia melambangkan keazaman persatuan untuk terus memperkukuh peranan sebagai peneraju perkhidmatan dan advokasi autisme, selaras dengan usaha berterusan memperjuangkan hak, peluang dan kualiti hidup individu autistik. 

“Ia menzahirkan usaha berterusan kami untuk mengambil kira pandangan, harapan serta keperluan ahli dan penyokong.

“Bukan itu sahaja, ia selaras dengan misi kami untuk meningkatkan kualiti hidup individu autisme dan memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap golongan ini,” katanya pada majlis pelancaran logo baharu itu di sini baru-baru ini. 

Nasom turut merasmikan pejabat sekretariat baharu di Pasific Place Commercial Ara Damansara baru-baru ini yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Hadir sama Pengerusi NASOM, Julian Wong.

Sejak ditubuhkan pada 3 Mac 1987, Nasom komited menyediakan sokongan sepanjang hayat kepada individu autisme melalui pelbagai program termasuk intervensi awal, intervensi intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran. 

Nasom kini mengendalikan 18 pusat di seluruh negara, memberi khidmat kepada lebih 400 pelajar dengan sokongan pasukan seramai 120 kakitangan termasuk guru terlatih.

Dalam pada itu, Julian memberitahu, perasmian pejabat sekretariat itu menandakan komitmen persatuan untuk terus memperkukuh perkhidmatan dan mendekatkan sokongan kepada komuniti autisme. 

“Di sinilah usaha, kerjasama dan inisiatif baharu akan digerakkan untuk memastikan lebih ramai individu autisme dapat menyertai dan berkembang dalam masyarakat,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |