PETALING JAYA – Sepanjang hujung minggu yang lalu, Ai-CHA, jenama minuman dan ais krim dari Indonesia yang sedang pesat berkembang menyumbang lebih 6,000 pek bantuan bernilai RM100,000 buat keluarga yang terkesan akibat banjir di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Inisiatif kebajikan yang dijalankan selama dua hari pada 5 dan 6 Disember 2025 menerusi misi bantuan banjir Ai-CARE itu mengedarkan bantuan ke 12 lokasi termasuk sekolah, rumah kebajikan, masjid dan pusat komuniti.
Antara penerima sumbangan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia, SK Sultan Abdul Aziz, Rumah Anak Yatim Amal Solehah Pendang, Masjid Zahir, Masjid Al-Bukhari, Rumah Teduh Perlis, Superkids Care Centre serta institusi komuniti tempatan lain.
Misi bantuan Ai-CARE bukan sekadar untuk membantu mangsa yang terkesan, malah turut menjadi platform buat syarikat menghulurkan bantuan kepada pengusaha-pengusaha cawangan Ai-CHA yang dilanda bah.
Pihak ibu pejabat memutuskan untuk menyumbang bekalan asas bernilai lebih RM13,000 untuk semua 92 cawangan di negeri-negeri yang terlibat banjir.
Sementara bagi lima cawangan Ai-CHA di Utara Semenanjung yang dilaporkan mengalami pelbagai tahap kerosakan akibat banjir, baucar tunai sebanyak RM15,000 diberikan bagi membantu pengusaha membuka semula premis, selain RM5,000 untuk kos logistik dan RM10,000 bagi kakitangan yang turut terkena tempias banjir.
Lebih 6,000 pek bantuan banjir diagihkan dengan anggaran nilai kira-kira RM100,000.Dalam usaha membantu pengusaha kembali bangkit daripada musibah banjir dan memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati semula minuman kegemaran mereka, Ai‑CHA memperkenalkan promosi istimewa daripada 15 hingga 21 Disember, khusus untuk cawangan-cawangan Ai-CHA di Utara Semenanjung.
Promosi tersebut menawarkan minuman Passion Fruit dan Hawaiian Nut pada harga RM3.
Di samping itu, ibu pejabat Ai-CHA turut menyumbangkan bahan bekalan iaitu jem buah markisa ke semua 92 lokasi agar pengusaha boleh beroperasi semula tanpa dibebani kos tambahan, sambil mengekalkan harga mesra poket bagi pelanggan-pelanggan setia yang masih dalam fasa pemulihan.
Segala urusan logistik sepanjang misi tanggungjawab sosial korporat tersebut ditangani sepenuhnya oleh pasukan dalaman Ai-CHA sendiri.
Seramai 15 sukarelawan dikerahkan untuk mengatur penghantaran dan memastikan bantuan diterima setiap keluarga di daerah-daerah terjejas, yang diterajui sendiri oleh Pengurus Besar Wilayah Kumpulan, Vincent Ong Wei Ho yang turun padang bersama-sama Pengurus Negara bagi Semenanjung Malaysia dan Singapura, Low Hon Yau.
Bantuan Ai-CARE turut diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Amal Solehah di Pendang.Menurut Ong, Ai-CARE mencerminkan pegangan asas Ai-CHA bahawa dalam setiap rezeki yang diterima, sebahagian daripadanya wajar dikembalikan kepada masyarakat sebagai tanda kesyukuran.
“Apabila komuniti kita ditimpa musibah, kita tidak boleh sekadar melihat tanpa berbuat apa-apa.
“Penduduk di negeri-negeri ini sentiasa menyokong perniagaan kami dan melalui misi ini, kami mahu mereka tahu bahawa kami menghargai kesetiaan mereka dan akan cuba membantu sekiranya mereka memerlukan,” ujarnya.
Ditubuhkan pada tahun 2019 oleh adik-beradik Lie dari Indonesia, Ai-CHA telah berkembang pesat dan kini beroperasi di 31 negara merentas dua benua, Asia dan Afrika.
Sejak pembukaan cawangan pertamanya di Malaysia pada 2024, jenama tersebut telah memperluas kehadirannya dalam negara dan kini mempunyai 600 cawangan tempatan.
Ai-CHA bukan sahaja menitikberatkan pengalaman pelanggan, malah menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat melalui inisiatif Ai-CARE, sebuah program yang telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 individu di seluruh negara setakat ini. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
6















































