Kerja pengawal keselamatan tetapi samun guna parang

1 week ago 13

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara tujuh tahun beserta tiga sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menyamun menggunakan parang di Senai, Kulai minggu lalu.

Tertuduh, K. Murugan, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Semalam, mahkamah menangguhkan keputusan terhadap tertuduh bagi membolehkan barang kes dikemukakan semasa prosiding hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan sebilah parang untuk merompak seutas rantai emas dan dua loket milik seorang lelaki berusia 22 tahun di hentian bas Jalan Bendahara, Taman Dawani, Senai, Kulai pada pukul 8.30 malam, 23 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi berkata, tertuduh telah menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa depan.

“Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,900 sebulan. Dia mempunyai sakit jantung dan menanggung isteri menghidap kanser selain mempunyai empat orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU),” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ri bagaimanapun meminta mahkamah memberi hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan itu merupakan kesalahan serius.

“Tertuduh melakukan perbuatan samun terhadap mangsa yang baharu pulang daripada kerja di Singapura. Tertuduh juga menggunakan parang iaitu senjata berbahaya untuk mengancam nyawa mangsa.

“Mangsa bernasib baik kerana tertuduh ditangkap anggota polis ketika sedang melakukan jenayah tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |