EPL: Arne Slot luah kesedihan sarat

9 hours ago 6

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan pemergian penyerang prolifik Diogo Jota sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat kelab, malah seluruh komuniti bola sepak.

Jota, 28, disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di utara Sepanyol pada Khamis yang turut meragut nyawa adiknya, Andre Silva apabila kereta yang dinaiki dilaporkan terbabas sebelum terbakar menyebabkan mereka maut di tempat kejadian.

Jota, yang menyertai The Reds dari Wolverhampton Wanderers pada 2020, telah menjaringkan 65 gol dalam 182 penampilan membantu Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Slot musim lalu.

“Apabila tiba masa yang sesuai, kami akan meraikan Diogo. Kami akan sentiasa mengingati setiap jaringan dilakukannya dan menyanyikan lagunya.

“Namun buat masa ini, kami akan mengenangnya sebagai seorang lelaki yang budiman dan meratapi kehilangannya. Mesej saya kepada keluarga Diogo sangat jelas, anda tidak akan sendirian, kami semua bersama anda,” katanya.

Jota baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama pasangan lamanya, Rute Cardoso kurang dua minggu lalu dan meninggalkan tiga orang anak.

Sebagai penghormatan, ratusan penyokong Liverpool telah meletakkan jambangan bunga, jersi dan bendera di sekitar Stadium Anfield sejak berita kematian Jota diumumkan.

“Saya boleh cakap banyak tentang apa yang dia bawa kepada pasukan, tetapi hakikatnya semua orang yang menonton Diogo bermain boleh melihatnya. Kerja keras, keinginan, komitmen, kualiti dan matlamat. Itulah jiwa sebenar seorang pemain Liverpool.

“Namun, ada sisi dirinya yang tidak semua orang nampak. Dia bukan seseorang yang mencari populariti, tetapi dia menemuinya. Bukan sekadar kawan kepada dua orang, tetapi kawan kepada semua.

“Dia adalah insan yang mampu membuat orang lain berasa dihargai hanya dengan kehadirannya. Seorang yang sangat mengambil berat tentang keluarganya,” katanya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |