Dua aksi simulasi terbaik Harimau Malaya

1 day ago 4

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski optimis dua aksi persahabatan bertemu Palestin dan Singapura pada minggu depan sebagai ujian ‘pemanas badan’ terbaik buat barisan pemain.

Menurut Cklamovski, dua perlawanan itu juga boleh dianggap sebagai ‘simulasi’ sebenar sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Laos pada Oktober nanti.

Cklamovski berkata, punca utama pasukan bermain di dua venue berbeza adalah disebabkan mahu pemain menyesuaikan diri dengan suasana dan kepenatan beraksi di laman sendiri dan di tempat lawan ketika menentang Laos.

“Kami ada lapan hari untuk mencipta mentaliti dan perbaiki falsafah bola sepak pada kem latihan pusat kali ini.

“Secara peribadi, kalau boleh saya mahu pasukan kekal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada kedua-dua perlawanan kerana suasana yang menakjubkan dengan kehadiran ramai penyokong.

“Namun, bila fikirkan pada Oktober depan kita akan mengharungi dua perlawanan berbeza di laman sendiri dan tempat lawan, saya rasa ini adalah simulasi terbaik dan bantu pasukan lebih bersedia,” katanya.

Sebagai rekod, skuad negara bakal bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis depan, manakala aksi menentang Palestin berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September.

Mengulas lanjut, Cklamovski menyeru agar pasukan dapat memberikan yang terbaik pada kedua-dua perlawanan untuk meneruskan momentum ‘revolusi’ yang dipamerkan sejak awal tahun ini.

“Saya mahu pemain berikan yang terbaik, semangat dan kekal fokus sepanjang perlawanan. Semoga kita dapat mencapai kemenangan dengan penyokong bangga melihat aksi pasukan,” kata jurulatih dari Australia itu.

Cklamovski telah memanggil 29 pemain untuk sertai kem latihan pusat bermula esok di Kuala Lumpur termasuk beberapa pemain berpangkalan di luar negara seperti Richard Chin, Sergio Aguero, Rodrigo Holgado dan Dion Cools.

Read Entire Article
Pertanian | | | |