KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini berkaitan kematian bayi tujuh bulan, di sebuah taska di Setapak di sini, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata setakat ini rakaman percakapan sedang dilakukan oleh Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Kontinjen Kuala Lumpur.
“Rakaman percakapan diambil daripada pemilik taska, pengasuh dan lain-lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Siasatan akan dijalankan dari semua sudut termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Buat masa ini tak ada tangkapan lagi, kertas siasatan telah dibuka dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan mangsa, Muammar Aidil tidak sedarkan diri tidak sampai sejam selepas dihantar ke premis jagaan tersebut pada pukul 9.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.
Bapanya, Aidil Khalid, 41, dilaporkan berkata, pemergian Muammar begitu pantas dan mengejutkannya sekeluarga kerana bayi tersebut dalam keadaan sihat dan ceria ketika dihantar isterinya, Nur Farihah ke taska berkenaan pada pagi kejadian.
Pada hari kejadian, anak pasangan peguam itu tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.
Ibu mangsa, Nur Farihah Meor Mazli, 29, berkata, sebelum ini dia pernah memaklumkan kepada pihak taska bahawa anaknya tidak sepatutnya dibedung ketika tidur.
Mengulas mengenai hal tersebut, Syahrul Anuar berkata, punca kematian bayi tersebut adalah disebabkan tersedak susu dan bukannya lemas kerana dibedung.
“Indikasi itu terlalu subjektif, benda itu (bedung) tak boleh menyebabkan kematian. Terlalu awal untuk kita kata. Punca kematian telah disahkan bahawa bayi tersebut tersedak susu.
“Setakat ini belum ada keputusan lanjut sama ada benar di bawah kecuaian pihak pengasuh. Kes tersebut pertama kali terjadi di taska tersebut dan taska itu sudah lama beroperasi secara sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE