PUTRAJAYA- Sambutan Hari Kebangsaan 2025 dengan tema, Malaysia Madani, Rakyat Disantuni membuka tirai dengan rasminya pada pukul 8 pagi ini.
Acara sempena kemerdekaan negara ke-68 itu bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kereta Proton Satria Neo dipandu Seri Paduka Baginda.
Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.
Baginda kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.
Lagu Negaraku sekali lagi kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang bersama tembakan sebanyak 14 das tembakan meriam.
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Ketua Pegawai Peperangan KD Sri Indera Sakti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Mohd. Firdaus Arbaain bersama 68 pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sebanyak 81 kontinjen membabitkan 14,062 peserta akan mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan, yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.
Selain itu, acara kemuncak dinantikan pengunjung turut melibatkan persembahan udara dengan formasi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ia membabitkan persembahan formasi aset udara termasuk pesawat tempur SU-30 MKM, Hawk, A400M dan helikopter.
Persembahan ‘Citra MADANI’ yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara turut membabitkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air pula menjadi penutup acara berprestij berkenaan.
Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan; Malaysia Madani, Rakyat Disantuni yang disampaikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. – KOSMO! ONLINE