SUBANG JAYA – Seramai 235 mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights telah menerima sesi kaunseling di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights bagi membantu menangani trauma akibat kejadian berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi sesi kaunseling tersebut pihaknya dapat mengenal pasti keperluan spesifik setiap individu dan menyantuni mereka secara lebih menyeluruh.
“Kita mendengar terus daripada mangsa ada yang memerlukan telefon bimbit untuk kegunaan anak yang perlu teruskan pembelajaran, ada yang perlukan air purifier (pembersih udara) untuk anak autistik, malah ada juga ibu baru bersalin yang memerlukan persiapan selepas bersalin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PPS Masjid Putra Heights hari ini.
Menurutnya, bantuan turut diberikan kepada mangsa yang menunjukkan tanda tekanan dan memerlukan keperluan asas.
“Bukan semua bantuan kita beri secara pukal, tetapi mengikut keperluan individu.
“Ada yang perlukan wang tunai kerana perlu ulang alik ke hospital dan kita bantu melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN),” ujarnya.
Nancy berkata, jumlah sumbangan wang tunai yang diterima YKN setakat ini mencecah RM29,533 termasuk daripada individu perseorangan seperti seorang kanak-kanak yang menyerahkan tabung berisi RM500 sebagai tanda solidariti.
“Selain sumbangan dalam bentuk barangan dan makanan yang sememangnya banyak, kita juga mengurus bantuan kewangan untuk mangsa yang memerlukan sokongan segera,” jelasnya.
Tambah beliau, seramai 10 kaunselor dari kementeriannya turut ditempatkan secara bergilir dalam tiga syif setiap hari di PPS untuk memberi sokongan emosi dan mental kepada mangsa yang terjejas.
Selain itu, JKM selaku penyelaras utama di PPS turut membantu menyelaras keperluan lain seperti pengangkutan pelajar ke sekolah dan bantuan logistik. – KOSMO! ONLINE