Zii Jia anggap tak layak, tolak sertai RTG

1 day ago 8

PUTRAJAYA – Persoalan mengenai penyertaan jaguh perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia menyertai Road to Gold (RTG) akhirnya terjawab apabila pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu secara rasmi memutuskan untuk tidak menyertai program elit negara itu.

Keputusan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa RTG kali kedua tahun ini.

Menurut Hannah, pihaknya telah bertemu dengan Zii Jia sebelum ini dan keputusan untuk tidak menyertai program dirangka khas bagi memburu pingat emas Olimpik pertama negara dibuat atas alasan peribadi pemain berkenaan.

“Zii Jia menyatakan keputusan untuk tidak menyertai program RTG atas alasan tersendiri. Jawatankuasa RTG menghormati keputusannya dan kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuknya.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Zii Jia. Dalam perjumpaan kami, beliau telah memberikan banyak maklum balas sangat baik mengenai RTG dan sokongan yang boleh diberikan kepada atlet profesional.

“Bagaimanapun, keputusan akhir tetap di tangan atlet dan Zii Jia telah membuat pilihan untuk tidak bersama. Kita hormati keputusan tersebut,” kata Hannah pada sidang akhbar di Menara KBS hari ini.

Biarpun memilih bergerak secara bebas tanpa RTG, Hannah memberi jaminan bahawa kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus menghulurkan sokongan kepada Zii Jia selaku atlet profesional yang membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan  Zii Jia masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan dan merasakan bantuan RTG lebih wajar disalurkan kepada atlet-atlet lain yang dilihat lebih layak.

Dalam perkembangan lain, seramai 12 atlet telah menandatangani perjanjian untuk menyertai program RTG, manakala empat pemain badminton profesional masih belum mengesahkan penyertaan mereka.

Empat pemain itu ialah beregu lelaki No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan pasangan suami isteri di ranking kelima dunia, Gooh Soon Huat-Shevon Lai.

Sebagai rekod, program RTG yang diperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi tahun 2025 kekal menjadi sandaran utama negara dalam misi memburu kilauan pingat emas sulung Sukan Olimpik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |