SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 67 tahun direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes 47 jemaah warga emas Malaysia yang ditipu ejen haji tempatan.
Perintah reman sehingga 20 Jun itu dikeluarkan Majistret Fairuz Shuhada Amran bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian serba putih dan berkopiah tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kereta polis.
Semalam, media melaporkan hasrat 47 jemaah haji warga emas Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Dilaporkan, jemaah yang terpedaya dengan janji manis, mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad, susulan laporan polis yang dibuat oleh waris mangsa di Mantin.
“Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka. Siasatan awal mendapati mereka mengalami kerugian sebanyak RM81,000 dengan setiap seorang daripada mereka telah membayar RM27,000 kepada suspek bagi menyertai pakej haji yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Ulang Tahun Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ke 103 di Seremban di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihak polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada penipuan tersebut dilakukan secara individu atau membabitkan syarikat tertentu.
“Polis dijangka memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE