Kerajaan setuju pisahkan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai langkah reformasi institusi perundangan negara.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan model pengasingan berkenaan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, pelaksanaan itu akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

“Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.

“Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45),” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.

“Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh BHEUU, JPM bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan meneruskan peranan selanjutnya.

“(Ini adalah) untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan,” ujarnya.

Kata kenyataan itu, syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

“(Ia) supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada,” jelasnya.

Kerajaan menegaskan langkah berkenaan merupakan reformasi holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |