‘Luluh hati dapat berita isteri meninggal kemalangan’

1 hour ago 1

GEORGE TOWN – Seorang suami tidak menyangka kiriman WhatsApp tentang kucing daripada isteri tercinta menjadi penghubung terakhir mereka sekeluarga sebelum terlibat kemalangan membabitkan sebuah van kilang di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus di sini, pagi tadi.

Shahrin Not, 50, berkata, isterinya, Norehan Abdul Ghani, 50, bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Bayan Lepas selama lebih 20 tahun dan semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Masjid Teluk Bahang ke Bayan Lepas.

Akui Shahrin, dia masih terkejut dengan berita kematian isteri tercinta sedangkan baru sahaja membaca mesej yang dikirimnya, pagi tadi.

“Luluh hati saya dapat berita isteri saya yang meninggal dalam kemalangan. Pagi tadi arwah sempat WhatsApp dalam kumpulan keluarga kami, macam biasa, dia cerita pasal kucing kami.

“Arwah memang sayang sangat pada kucing yang dibela dan dijaga bersama. Selalunya dia akan WhatsApp tentang kucing, itu pesanan yang terakhir saya dapat. Lepas daripada itu dia tidak hubungi kami lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Shahrin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, isterinya menaiki van kilang yang sama sejak lebih 15 tahun, selepas syarikat menghentikan penggunaan bas.

“Dia naik van itu sudah lama, dulu naik bas, tapi apabila bas tak ada, dia terus naik van. Memang van yang sama,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu mangsa Siti Shahidani, 21, berkata, baru semalam ibunya memberitahu mereka bahawa dia mahu membawa anak-anaknya pulang ke Kampung Permatang Bogak, Butterworth, esok

“Semalam mak kata, Selasa kita balik seberang (kampung mak), tak sangka pula jadi macam ini (kemalangan maut),” katanya.

Anak mangsa, Siti Shahida (kiri) dan Siti Shahidani (kanan) ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HPP, hari ini.

Jenazah Norehan akan dikebumikan di Kampung Permatang Bogak, Butterworth pada petang nanti. Dalam kemalangan kira-kira jam 5.59 pagi tadi, van kilang yang membawa enam pekerja wanita dilaporkan terbabas sebelum melanggar tembok di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus.

Kemalangan itu menyebabkan Norehan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh lagi termasuk seorang pemandu van mengalami cedera parah. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |