‘Tiada apa nak beritahu’ – Dafi nafi hidap kanser darah

1 day ago 7

PETALING JAYA – Didakwa menghidap kanser darah, penyanyi dan pelakon Dafi enggan mendedahkan apa-apa sebaliknya memohon orang ramai mendoakan kesihatannya.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 37, turut meminta peminat agar tidak risau tentang keadaannya yang kini semakin berisi.

“Sebelum ini kecoh saya ambil bahan terlarang sebab terlalu kurus, sekarang berat dah naik sikit apa lagi orang nak cakap.

“Kalau ada yang rasa saya sakit, doa-doakan kesihatan saya. Buat masa sekarang saya tiada apa nak beritahu.

“Sekarang semakin sihat, semakin bulat. Tiada apa yang merisaukan, setakat ini alhamdulillah tetapi teruskan doa saya sihat,” katanya kepada Kosmo! Online ketika malam gala tayangan filem terbaharu lakonannya berjudul Martabat Misi Berdarah, kelmarin.

Ditanya mengenai dakwaan kerap ke hospital, pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu memaklumkan kehadirannya ke sana adalah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan ataupun menziarah ahli keluarga yang sakit.

Bagaimanapun, dia menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa syukur apabila ramai prihatin dengan tahap kesihatannya.

“Pergi ke hospital itu normal, kadang-kadang ada saudara-mara masuk sana atau kawan-kawan yang buat pemeriksaan kesihatan.

“Saya sendiri tidak sihat, ada asma. Jadi, untuk ke hospital bukan satu benda yang pelik. Secara general, saya pergi hospital buat pemeriksaan kesihatan, itu pun setahun sekali.

“Saya bersyukur dan berterima kasih ramai yang risau dan prihatin. Doakan kesihatan saya terus baik,” ujarnya lagi.

Tambah Dafi, dia kini gembira dengan berat badannya lebih-lebih lagi apabila tidak membuatkan orang ramai risau.

“Senang naikkan berat badan, hanya makan saja cuma nak turunkan yang susah. Saya bersyukur apabila jumpa orang kata semakin sihat.

“Tidak pasti sama ada gembira atau tidak sebab selalunya berat badan naik orang kaitkan dengan benda negatif tetapi situasi saya berbeza pula.

“Sekarang saya selesa dengan berat badan saya, sebenarnya saya tidak suka orang risaukan saya. Kegembiraan saya datang apabila tidak merisaukan orang lain,” jelasnya.

Sebelum ini, perubahan fizikal Dafi yang kelihatan cengkung membuatkan ada yang menuduhnya mengambil barang terlarang.

Menyangkal dakwaan terbabit, Dafi sebaliknya menjelaskan dia hanya mengamalkan diet seimbang selain kerap bersenam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |