KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon MK K-Clique sentiasa meletakkan had dan batasan dalam melakukan sebarang babak dengan pelakon wanita di set penggambaran.
Menurut MK atau nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, perkara tersebut tidak dilakukan atas suruhan isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin sebaliknya atas kesedaran diri sendiri.
“Tak perlu ada persetujuan bersama isteri pun untuk saya melakukan sebarang adegan kerana semua itu adalah kesedaran sendiri.
“Pelakon lain juga sedar tentang had ketika berlakon, lebih-lebih lagi kita di Malaysia ini memang ada batasan dalam semua hal.
“Jadi, saya fikir tidak perlu persetujuan orang lain sebab itu memang atas kesedaran sendiri yang perlu dijaga,” katanya ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama Aku Bukan Ustazah 2 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, ditanya tentang respons isteri untuk setiap drama lakonannya, MK berkata, Siti Hajaar berperanan sebagai pengkritik namun berpada-pada.
“Dia hanya menonton babak yang ada saya sahaja. Dia jarang beri komen mengenai lakonan tetapi kalau ada perkara yang kurang, dia akan beritahu.
“Dia tidak beri komen negatif untuk lakonan, maksudnya mungkin semuanya okey sahaja” ujarnya.
Berkongsi tentang drama Aku Bukan Ustazah 2, MK yang melakonkan watak Adam berkata, musim kedua memerlukan dia bermain dengan banyak emosi.
“Kali ini emosinya lebih berat berbanding yang pertama ditambah pula watak saya mati lebih awal.
“Ramai mengakui rasa kecewa dan bertanya mengapa watak saya mati terlalu awal. Respons sebegitu yang kami mahu iaitu cerita diluar jangkaan penonton,” jelasnya.
Drama Aku Bukan Ustazah 2 kini hangat ditayangkan menerusi slot Lestary TV3 setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 9 malam.
Naskhah arahan Idora Abdul Rahman itu turut dibarisi Erysha Emyra, Nabil Aqil, Zahiril Adzim dan Shaza Bae. – KOSMO! ONLINE