Protes Nepal: Tentera dikerah pertingkat rondaan

3 hours ago 3

KATHMANDU – Askar Nepal melakukan rondaan di jalan-jalan di Kathmandu hari ini sebagai usaha memulihkan keadaan selepas penunjuk perasaan membakar Parlimen dan memaksa Perdana Menteri meletak jawatan, dalam keganasan paling teruk yang melanda negara Himalaya itu bagi tempoh dua dekad.

Protes bermula Isnin lalu di ibu negara Nepal bagi membantah sekatan kerajaan ke atas media sosial dan berhubung isu rasuah.

Bagaimanapun, ia memuncak menjadi kemarahan di seluruh negara dengan bangunan kerajaan dibakar selepas tindakan keras meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa.

Hampir 200 orang dipercayai cedera dalam pertempuran dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru hidup ketika penunjuk perasaan memanjat dinding Parlimen serta bangunan rasmi lain, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Tentera hari ini memberi amaran bahawa vandalisme, rompakan, pembakaran atau serangan ke atas individu dan harta benda atas nama protes akan dianggap sebagai jenayah yang boleh dihukum.

Kepulan asap naik dari bangunan kerajaan, kediaman ahli politik, pasar raya dan bangunan lain yang menjadi sasaran penunjuk perasaan, kata seorang wartawan AFP hari ini.

“Hari ini lengang, tentera berada di jalanan, di serata tempat,” kata seorang askar yang melakukan rondaan.

Penunjuk perasaan yang didominasi oleh golongan muda atau Gen Z pada semalam menyerang dan membakar rumah Perdana Menteri, KP Sharma Oli yang juga pemimpin Parti Komunis.

Beliau kemudian meletak jawatan untuk membenarkan ‘langkah ke arah penyelesaian politik’. Keberadaannya bagaimanapun tidak diketahui.

Ketua Tentera Nepal, Jeneral Ashok Raj Sigdel merayu agar rundingan diadakan dalam mesej video yang dikeluarkan lewat semalam.

“Bagi menyediakan negara dengan resolusi aman, kami menggesa semua kumpulan yang terlibat dalam protes untuk membatalkannya dan terlibat dalam dialog,” katanya. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |