IPOH – Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 bagi memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di negeri ini agar lebih teratur, berkesan serta mampu memenuhi cabaran zaman.
Undang-undang itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang pindaan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan setelah dibahaskan oleh 15 Ahli DUN kerajaan dan pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melahirkan penghargaan kepada semua ADUN termasuk pembangkang yang menyokong Enakmen baharu tersebut yang akan menggantikan peruntukan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan berhubung butiran teknikal dan pelaksanaan, namun asasnya semua pembahas berkongsi hasrat yang sama.
“Iaitu memelihara martabat pendidikan Islam dan memperkukuh peranan sekolah agama sebagai medan membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya semasa menggulungkan RUU tersebut di sini hari ini.
Semasa membentangkan RUU itu semalam, Saarani berkata, Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang mengawal pendaftaran dan urus tadbir sekolah-sekolah agama Islam di negeri ini tidak pernah dipinda lebih dua dekad lalu, sehingga didapati banyak peruntukan sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan realiti semasa.
Beberapa pindaan dan penambahbaikan telah dibuat berbanding Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 sedia ada.
Antaranya, peruntukan ditambahbaik dengan memasukkan beberapa tafsiran perkataan baharu seperti tafsiran ‘Ketua Pendaftar’ yang merujuk kepada jawatan utama yang mengetuai organisasi pendaftaran sekolah, dan tafsiran ‘premis’ bagi merangkumi apa-apa bangunan yang digunakan sebagai tempat yang berkaitan dengan sekolah.
Selain itu penambahbaikan tafsiran ‘sekolah’ bertujuan untuk memastikan perkataan tersebut merangkumi semua kategori sekolah agama Islam termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). – KOSMO! ONLINE